Teras budaya dalam sesuatu pembentukan entiti sangat penting. Ia dilihat sebagai garis panduan untuk menjadikan satu entiti itu berada di landasan yang betul. Baru baru ini, Menteri Pendidikan kita, Dr Maszlee Malik telah menggariskan 3 teras budaya pendidikan yang kami rasakan WORTH TO SHARE dengan pembaca blog kami

*********

TERAS BUDAYA PENDIDIKAN ERA MALAYSIA BARU

Nota awal : Artikel asal di Sinar Harian

RAMAI bertanya tentang hala tuju dan pembaharuan bakal dibuat dalam dunia pendidikan di era Malaysia Baharu. Sekiranya ingin saya ceritakan, tentunya banyak yang telah, sedang dan akan diubah.

Ingin saya tegaskan bahawa, pembaharuan tidak boleh dibuat secara drastik dan terburu-buru. Kita ingin mengubah banyak sistem pendidikan yang ada, namun perubahan sistem belum tentu menjamin perubahan sikap dan keperibadian.

Sehari selepas saya diumumkan menjadi Menteri Pendidikan, saya telah mengumumkan bahawa saya mahu menerapkan tiga teras budaya yang akan diubah. Budaya merupakan elemen yang paling penting dan mustahak untuk ditinjau terlebih dahulu. Kita boleh ibaratkan budaya sebagai lapangan kapal terbang dan sistem pula sebagai kapal terbang. Tanpa budaya yang baik, sistem yang diubah tidak mampu untuk mendarat dengan sempurna.

Tips peperiksaan yang perlu anda tahu

Justeru, saya menekankan tiga teras budaya yang akan disuburkan di dalam dunia pendidikan negara kita. Tiga teras budaya pendidikan tersebut ialah: kasih sayang, hormat menghormati, dan kebahagiaan.

Kasih sayang

Kasih sayang ialah asas kepada pendidikan yang berjaya. Ingin saya nyatakan di sini, kejayaan seseorang tidak sekadar terletak kepada keputusan cemerlang peperiksaan di atas sekeping kertas sahaja, tetapi keunggulan peribadi yang berjaya dipamerkan.

Untuk melahirkan seorang individu yang berperibadi unggul, kita memerlukan kasih sayang sebagai pendekatan dalam mendidik. Seorang guru tidak boleh membenci muridnya walaupun muridnya sangat mencabar dirinya. Rasa benci hanya akan menjauhkan hubungan antara guru dan murid, manakala rasa sayang pula akan terus merapatkan, dan perlahan-lahan membuahkan pendidikan yang berjaya.

Mengajar kerana kasih sayang sangat berbeza dengan mengajar hanya semata-mata kerana tugas dan gaji. Mungkin apa yang diajar oleh guru tidak difahami oleh muridnya, tetapi dengan kasih sayang, seorang murid akan merasa tidak terabai dan mahu berusaha lebih lagi.

Sememangnya, kasih sayang ialah teras dalam apa jua bentuk pendidikan. Hal ini selari dengan ajaran agama Islam. Tidakkah kita terfikir, kenapa di dalam surah terawal dan surah pembukaan al-Quran iaitu Surah al-Fatihah, ALLAH memilih dua nama-Nya iaitu al-Rahman (Yang Maha Pengasih) dan al-Rahim (Yang Maha Penyayang) untuk memperkenalkan diri-Nya kepada kita?

Dua nama ini mempunyai asas maksud yang sama, iaitu kasih sayang.

Saling Hormat Menghormati

Saling hormat menghormati ialah budaya yang semakin terhakis dalam dunia era moden ini. Kita bukan hanya bercakap tentang murid yang tidak menghormati gurunya, tetapi guru yang juga tidak menghormati muridnya.

Sistem pendidikan tadika yang perlu diperkasa

Kerana tiada rasa hormat antara satu sama lainlah, tiadanya budi dan santun dalam berbicara. Sebagai seorang manusia, kita harus menghormati orang lain tidak kira pangkat, umur, jawatan dan bangsa. Tidak lain tidak bukan kerana orang lain juga manusia seperti kita. Kita akan dihormati sekiranya kita menghormati.

Kebahagiaan

Saya mahu letakkan konsep kebahagiaan ini sebagai tujuan dan matlamat pendidikan. Kebahagiaan di sini bukanlah bersifat duniawi, dan bukan juga bersifat luaran semata-mata, sebaliknya kebahagiaan ukhrawi, atau kebahagiaan dalaman.

Setiap daripada kita mahukan kebahagiaan dalaman ini, atau apa yang disebut di dalam al-Quran sebagai nafsul mutmainnah, iaitu jiwa yang tenang (89:27-28). Imam al-Ghazali menghuraikan di dalam kitab beliau Kimiyya’ al-Sa’adah bahawa perjalanan menuntut ilmu pengetahuan ialah perjalanan menuju kebahagiaan yang sebenar.

Kepada guru, mendidiklah dengan kasih sayang dan ikhlas, dengan izin ALLAH kita akan bahagia. Kepada murid, terimalah pendidikan dengan kasih sayang dan ikhlas, dengan izin ALLAH, kita akan bahagia.

Dr Maszlee Malik

Menteri Pendidikan Malaysia

********

Kami mengharapkan agar kita semua rakyat Malaysia terus berganding bahu dalam memikul tanggungjawab yang besar ini dalam membawa pendidikan negara kita ke satu horizon yang jauh ke hadapan seterusnya menjadikan negara kita maju setanding dengan negara maju yang lain. Amalkan teras budaya pendidikan yang telah diinspirasikan oleh menteri pendidikan kita kepada warga didikan kita

Please follow and like us: