Baru baru ini kita telah mempunyai kerajaan baru setelah kerajaan lama yang memerintah negara hampir 60 tahun kehilangan kuasa untuk terus memerintah. Suka kami ingatkan bahawa kami di Siffra tidak berpihak kepada mana mana parti politik, kami hanya institusi yang ingin memajukan negara kepada lebih maju. Jangan anggap post ini berunsur politik sama ada mahu mengampu kerajaan atau memburukkan kerajaan. Baca dengan hati terbuka dan kita lihat apa hala tuju pendidikan negara selepas 100 hari kerajaan baru ini

Kami suka merujuk kepada Menteri Pendidikan yang baru dilantik. Kami ambil petikannya di facebook rasmi beliau

100 HARI PERTAMA: LEBIH 40 INISIATIF KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

Sempena 100 hari pertama Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH), saya sekali lagi mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memberi kepercayaan kepada PH untuk memimpin rakyat dan negara menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 yang lalu.

Pada kesempatan ini, saya juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga Kementerian Pendidikan dan pemegang taruh (stakeholders) kami yang sepanjang 100 hari yang lalu, telah memberi kerjasama yang padu kepada saya dan pasukan saya dalam mengemudi Kementerian Pendidikan.

Contest mudah menang RM200

Alhamdulillah, berkat sokongan dan kerjasama daripada semua pihak, kepimpinan saya telah berupaya untuk melaksanakan lebih 40 inisiatif (seperti dalam Lampiran) demi kepentingan masa depan pelajar di semua peringkat di negara ini.

Sebahagian daripada inisiatif-inisiatif ini merupakan antara perkara yang telah dijanjikan oleh PH dalam manifesto PRU14 manakala sebahagian lagi adalah inisiatif di luar daripada buku Manifesto PH itu sendiri.
Ini bermakna Kementerian Pendidikan Kerajaan pimpinan PH mengambil usaha dan pendekatan holistik dan membina bagi membolehkan martabat sistem pendidikan terus dipertingkatkan demi masa depan anak-anak kita.

Sehubungan itu, salah satu daripada inisiatif yang dilaksanakan itu termasuklah menunaikan janji untuk mengeluarkan nama peminjam PTPTN daripada senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia. Ini telah dilakukan pada 8 Jun 2018 iaitu dalam tempoh 30 hari pentadbiran Kerajaan baharu. Langkah ini telah membantu seramai 429,945 peminjam.

Dengan pelaksanaan tersebut, peminjam PTPTN yang patut membuat bayaran balik tidak lagi mempunyai sebarang sekatan Jabatan Imigresen. Kami percaya mereka yang meminjam sedikit wang untuk membiayai pengajian tidak wajar dilayan seperti penjenayah atau seperti mereka yang mencuri dana negara.

Sebelum ini, saya telah mengetengahkan beberapa janji saya sebagai Menteri Pendidikan di mana ia adalah komitmen saya untuk membawa penambahbaikan ke atas sistem pendidikan negara dalam tempoh lima tahun akan datang. Di peringkat awal 100 hari pertama ini, fokus saya ialah kepada “low-hanging fruits”, sebelum kita berpindah ke isu-isu lebih besar.

Ini termasuklah memberi kuasa autonomi kepada IPT, memberi kebebasan bersuara kepada mahasiswa dengan mewujudkan semula Sudut Pidato (speaker corner), mengurangkan beban guru daripada tugas perkeranian, memperkasa sekolah kebangsaan dan pendidikan khas, memastikan murid tidak lagi menggalas beg yang berat, meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dengan memperkasakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan menggalakkan pelajar menguasai lebih daripada tiga bahasa.

Kementerian saya juga mengambil langkah untuk memulakan kajian inklusif untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan. Ini termasuk membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi tujuan itu.

Senarai blog Guru Malaysia

Universiti Awam (UA) digalak menganjurkan lebih banyak perbahasan atau dialog dengan pihak-pihak berkepentingan (stakeholders).
Saya dan Kementerian Pendidikan bersikap terbuka untuk menerima pandangan daripada mana-mana pihak bagi menjayakan agenda dasar pendidikan negara.

Usaha memartabatkan Bahasa Melayu akan terus dipergiatkan dengan meraikan kekuatan dan menyemai budaya masyarakat pelbagai bahasa. Beberapa pengumuman berkaitan akan dibuat dalam waktu terdekat.

YB DR MASZLEE MALIK
MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
18 OGOS 2018
PUTRAJAYA

Kami juga lampirkan apakah 40 inisiatif baru ataupun lama yang telah dibuat oleh Kementerian Pendidikan yang kami rasakan kementerian inilah yang paling penting dalam membentuk generasi baru yang cintakan Malaysia

Apa pendapat anda pula mengenai Pendidikan kita di zaman Malaysia Baru ini? Suarakan pandangan anda di ruangan komen dan kami akan paparkan di website kami harapan dan cadangan anda supaya sistem pendidikan kita terus mapan membentuk budaya yang jitu seterusnya membawa Malaysia ke negara Maju

Please follow and like us: